Wednesday 6 July 2011

Peranan Masjid Nabawi Pada Zaman Awal Kemunculan Islam - Model Pemerkasaan Institusi Masjid

Pembinaan Masjid Nabawi

Hijrah Rasulullah S.A.W dan kaum Muhajirin dari Mekah ke Madinah merupakan titik mula terbentuknya sebuah negara Islam pertama di muka bumi ini. Nabi S.A.W telah melaksanakan tiga strategi penting untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Islam, khususnya antara Muhajirin dan Ansar serta masyarakat lain yang ada di Madinah pada ketika itu. Bermula dengan pembinaan Masjid Nabawi, diikuti dengan proses mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar sehinggalah merangka perlembagaan Madinah yang berperanan sebagai peraturan dalam kehidupan sesama Islam. Begitu juga hubungan mereka dengan bangsa-bangsa lain khususnya bangsa Yahudi[1]. Apabila sampai di Madinah, tindakan pertama yang dilakukan oleh Nabi S.A.W ialah memilih tempat unta baginda berhenti duduk untuk dijadikan lokasi pembinaan masjid. Tempat tersebut adalah milik dua orang kanak-kanak Ansar yang yatim. Baginda membuat tawar-menawar dengan mereka berdua. Mereka berkata, “Kami berikannya kepada kamu wahai Rasulullah”. Namun baginda berkeras untuk membelinya dengan harga 10 dinar emas yang dibayar menggunakan harta Abu Bakar Al-Siddiq.  Kemudian baginda mengajak orang Islam untuk turut serta membina masjid. Sebahagian fizikalnya dibina dengan batu blok, manakala sebahagian lagi dengan pelepah tamar yang diikat dengan tanah liat. Atapnya diperbuat daripada pelepah tamar, manakala mihrabnya daripada batu-bata dan ada pendapat mengatakan diperbuat daripada batu-batu kecil[2].

Peranan Masjid Nabawi

1.       Tempat penginapan bagi orang-orang lemah, fakir, miskin dan pemuda-pemuda lajang di kalangan kaum Muhajirin yang belum mendapatkan rumah. Golongan ini dikenali sebagai Ahli Suffah. Terdapat beberapa riwayat yang menyebutkan perkara ini antaranya ialah :

Abu Qilabah berkata daripada Anas: “Telah datang satu kumpulan daripada Kabilah Ukl menemui Rasulullah S.A.W dan pada ketika itu mereka berada di Suffah”. Berkata Abdul Rahman bin Abu Bakar, “Ahli-ahli Suffah itu terdiri daripada orang-orang fakir”[3].

Riwayat yang lain ada juga menyatakan: “Nafi’ berkata, Abdullah telah memberitahunya bahawa dia pernah tidur di Masjid Nabi S.A.W dan pada ketika itu dia masih seorang remaja, bujang dan tidak mempunyai ahli keluarga”[4].

Riwayat di atas menjelaskan bahawa pada zaman Rasulullah S.A.W, iaitu di awal perkembangan Islam di Madinah, telah disediakan ruang khas di sudut Masjid al-Nabawi sebagai tempat tinggal bagi membantu fakir miskin atau orang Islam yang tidak berkeluarga dan khasnya kaum Muhajirin yang belum mempunyai rumah.

2.       Pusat pengajaran mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan ajaran Islam. Perkara ini telah dijelaskan dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah Ibadat Yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang”.

(Surah An-Nur : Ayat 36)

Bertasbih dan mengingati Allah di masjid bukan hanya dengan sembahyang dan zikir tertentu, tetapi zikrullah juga termasuk mengajar dan belajar. Rasulullah S.A.W sendiri sangat menitikberatkan penyebaran ilmu pengetahuan. Apabila Nabi S.A.W menerima wahyu, baginda akan menyampaikannya kepada para sahabat dan orang-orang Islam di dalam masjid beserta penerangan maksudnya. Baginda juga sentiasa menyampaikan syarahan tentang ajaran-ajaran agama di masjid sama ada melalui hadis mahupun khutbah baginda S.A.W. Satu riwayat yang membuktikan sikap Baginda yang sangat mementingkan ilmu pengetahuan ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Amr yang bermaksud[5]

“Pada suatu hari Rasulullah S.A.W telah keluar dari salah satu bilik baginda lalu masuk ke dalam masjid. Baginda telah mendapati dua halaqah, salah satu daripadanya ialah kumpulan yang sedang membaca al-Qur’an dan berdoa kepada Allah, sementara kumpulan yang lain sedang belajar dan mengajar, lalu Rasulullah S.A.W berkata: “Semuanya dalam kebajikan, mereka sedang membaca al-Qur’an dan berdoa kepada Allah, jika Dia mahu Dia akan memberi mereka dan jika tidak Dia tidak akan beri kepada mereka. Dan mereka itu sedang belajar dan sesungguhnya aku diutus sebagai seorang guru”. Lalu baginda pun duduk bersama mereka.”

Riwayat di atas jelas menerangkan tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan juga umat Islam yang berilmu. Pada ketika itu, masjid merupakan institusi yang memainkan peranan penting sebagai pusat penyebaran dan perkembangan ilmu pengetahuan kepada masyarakat Islam.

Di atas sebuah pintu gerbang universiti Andalusia tertulis dengan megah: “Dunia ini dibangunkan di atas empat tiang utama; keilmuan para sarjana, keadilan para pemimpin, doa orang-orang soleh dan keberanian para pahlawan[6]. Budaya ilmu adalah budaya yang diwarnai oleh kebijaksanaan dalam berfikir dan bertindak. Sesiapa sahaja, baik raja, pemimpin atau rakyat bawahan akan berfikir dan bertindak dengan betul dan bijaksana, tidak mengikuti emosi, marah atau angkuh[7]. Masyarakat yang cerdas dan berbudaya ilmu adalah masyarakat yang terbuka fikirannya dan maju cara berfikirnya. Mereka menerima sesuatu pandangan berdasarkan kekuatan hujah dan ilmu. Sementara masyarakat yang tidak cerdas adalah masyarakat yang jumud dan sempit cara berfikirnya. Mereka menerima sesuatu pandangan berdasarkan kejahilan, ketaksuban dan kefanatikan[8]. Masyarakat yang cerdas dan berbudaya ilmu juga merupakan kelompok yang mempunyai sahsiah dan jati diri yang mantap. Mereka berpegang pada prinsip dan nilai-nilai yang berdasarkan pandangan alam dan agama yang tersendiri. Mereka tidak berkiblatkan pandangan Barat mahupun Timur dan kesannya golongan ini tidak menjadi buih yang mudah dipukul ombak.


[1] Ibn Hisyam (1987), as-Sîrah an-Nabawiyyah, disunting oleh ‘Umar ‘Abd as-Salam Tadmuri,   Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, Cet. II, hlm. 136-148
[2] Shaikh Ali Mohammad Mokhtar (2003), Peranan Masjid Dalam Islam, Cet. 2, terj. Syrkt Malindo Printers Sdn Bhd, Makkah: Rabitah al-Alam al-Islami, hlm. 46
[3] Al-‘Asqalani, Ahmad bin Ali bin Hajr (1986), Fath al-Bâri bi Syarh Shahîh al-Bukhari, Kaherah: Dar al-Rayyân, cet. pertama, juz 1, Bab Naum ar-Rijal fi al-Masjid, hlm. 637
[4] Ibid, hadis 440, hlm. 657
[5] Sunan ad-Darimi, Kitab al-Muqaddimah, hadis 352.
[6] Hitti (1970), History of the Arabs, Cet. Ke-10, London: Macmillan.
[7] Khalif Muammar, Jurnal Hadhari Bil.2 (2009), Faktor Kegemilangan Tamadun Islam : Pengajaran Dari Masa Lalu, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia
[8] Ibid, Khalif Muammar.

No comments:

Post a Comment