Saturday 2 July 2011

Institusi Masjid Atau Surau Dalam Komuniti Muslim

Definisi & Konsep Pembinaan Masjid

                Institusi masjid sebenarnya memainkan peranan yang amat besar dan penting dalam mencorak masyarakat khususnya dalam komuniti muslim. Hal ini dapat diperhatikan melalui pelaksanaan fungsi masjid yang pelbagai pada zaman awal kemunculan Islam hingga era pemerintahan Umaiyah, Abbasiyah dan seterusnya. Masjid bukan sahaja menjadi tempat untuk mendirikan solat berjemaah, malah menjadi medan atau pusat kegiatan masyarakat. Inilah yang menjadikan masyarakat Islam pada ketika itu unggul dalam segala aspek.

                Masjid dari sudut bahasa berasal dari kata dasar ‘sajada’ yang  bermaksud sujud iaitu meletakkan dahi ke bumi[1]. Dari aspek konseptual pula membawa erti patuh, taat, setia serta ketundukan yang disertai rasa hormat dan takzim yang tinggi. Dalam aktiviti sujud itu sendiri, akan berlaku perbuatan meletakkan dahi, kedua-dua tangan, lutut dan kaki ke bumi sebagai simbol ketundukan dan ketaatan maksimum seorang manusia kepada penciptanya[2]. Sujud juga membawa erti kesedaran terhadap kekhilafan, rasa penghormatan, kemahuan mengikuti atau menyesuaikan diri dengan ketetapan Allah S.W.T yang merangkumi sunnatullah dan sebagainya[3]. ‘Masjid’ pula bererti tempat sujud, secara umumnya dikaitkan dengan ibadah khusus seperti solat atau tempat melakukan aktiviti kepatuhan kepada Allah S.W.T sepertimana dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud :

"Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata,
maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah”.

(Surah Al-Jin: ayat 72)

                Perkataan ‘masjid’ dipilih sebagai tempat mendirikan solat kerana sujud merupakan perbuatan atau rukun fi’li yang paling mulia dalam solat lantaran hampirnya seseorang hamba dengan Tuhan-Nya sewaktu berkeadaan sujud[4]. Maka terbitlah nama tersebut sebagai tempat pelaksanaan ibadah (tidak dikatakan sebagai tempat rukuk). Justeru, apabila dihubungkan pelbagai pengertian yang telah dinyatakan, institusi masjid boleh dikonklusikan sebagai pusat percambahan nilai-nilai yang terkandung dalam ajaran Islam, melibatkan perhubungan antara makhluk dengan pencipta dan perhubungan sesama makhluk. Kejayaan merealisasikan konsep sebenar pembinaan institusi masjid ini akan melahirkan komuniti Islam yang cemerlang dalam pelbagai aspek.

Realiti Masjid Pada Masa Kini

Masjid pada zaman Rasulullah S.A.W berjaya membenihkan tamadun Islam sehingga lahirnya insan-insan agung seperti Abu Bakar al-Sidiq, Umar al-Khattab, Uthman, Ali, Khalid, Saad, Abu Ubaidah dan tokoh-tokoh besar lain dalam sejarah Islam melalui pengajian yang dijalankan di Masjid Nabawi[5]. Justeru, tidak mustahil sekiranya institusi masjid atau surau yang wujud pada hari ini diperkasakan peranan dan tanggungjawabnya, kelak akan melahirkan individu-individu muslim yang unggul dari sudut keilmuan, akhlak dan lain-lain. Antara permasalahan yang membelenggu institusi masjid pada hari ini ialah :

Tempat Eksklusif Ibadah Khusus

Perubahan keadaan hidup dan pertumbuhan pelbagai institusi secara bersendirian menyebabkan banyak fungsi masjid telah diambil hingga ianya menjadi tempat eksklusif untuk beribadah khusus seperti sembahyang, beriktikaf dan berzikir sahaja. Fungsi lain telah dikeluarkan setelah lahirnya pelbagai institusi untuk melaksanakan pengkhususan peranan. Keadaan ini sudah mula berlaku pada abad ke-3 Hijrah apabila peranan masjid sebagai pusat pentadbiran kerajaan semakin berkurangan lantaran wujudnya binaan atau institusi khas untuk menyelaraskan pentadbiran dengan lebih teratur. Kebanyakan masjid pada ketika itu beransur-ansur hilang kepentingannya dalam bidang politik dan kemasyarakatan[6]. Masjid hanya menjadi tempat membacakan khutbah-khutbah agama, tempat memuji dan membesarkan Allah S.W.T, mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W, memohon keredhaan bagi para sahabat dan memanjatkan doa bagi para khalifah yang menjalankan tugas memelihara agama[7].

Namun demikian, kewujudan pelbagai institusi lain tidak harus dijadikan alasan yang menyumbang kepada kelesuan jentera masjid dalam melaksanakan pelbagai program. Hal ini seharusnya membuka ruang persaingan dan perkongsian maklumat yang lebih luas seterusnya menguntungkan masyarakat dan negara. Contohnya, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) telah ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan pada 13 Oktober 1976, bertujuan meningkatkan taraf sosio ekonomi, mengukuhkan tradisi keilmuan selain memantapkan kebajikan untuk pembangunan ummah[8]. Peranan yang dimainkan oleh YaPEIM pada hari telah dilaksanakan pada zaman Rasulullah S.A.W dan generasi awal Islam selepas baginda melalui institusi masjid. Terdapat juga institusi-institusi lain yang turut memainkan peranan yang hamper serupa seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia[9] (YADIM), Koperasi Muslimin Malaysia Berhad[10] (KMMB). Maka, percambahan pelbagai institusi seperti di atas harus dimanfaatkan sepenuhnya dengan menggembleng seluruh kepakaran yang ada seterusnya menjadikan masjid sebagai wasilah atau perantaraan untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Contohnya, pihak masjid dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) boleh menganjurkan seminar berkaitan ekonomi dan kewangan Islam bagi menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan bermuamalah berlandaskan syariah. Dalam pada itu, pihak YaPEIM juga boleh mengambil kesempatan yang ada untuk mempromosikan segala program ekonomi mereka seperti Skim Potongan Gaji yang memberi peluang kepada orang ramai untuk beramal jariah dengan memberi sumbangan kewangan kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menerusi skim potongan gaji bagi membiayai program pelajaran, sosial dan kebajikan masyarakat Islam[11]. Skim ar-Rahnu yang ditawarkan oleh pihak YaPEIM juga berupaya membantu peniaga-peniaga kecil membuat pinjaman untuk dijadikan modal awal atau tambahan[12].

Masjid ‘Syurga Warga Emas’

Penjajahan barat dari segi kuasa politik, pemikiran dan budaya juga telah menyebabkan banyak pertembungan nilai dan budaya hingga menjejaskan banyak institusi yang berteraskan Islam[13]. Kesan dan pengaruh ledakan fenomena hedonisme[14] serta sindrom ‘hubb ad-dunya’ menyebabkan institusi masjid terus dipinggirkan oleh masyarakat khususnya remaja pada hari ini. Susah sekali hendak melihat kelibat remaja yang hatinya terpaut dengan masjid terutama di kawasan-kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Kuantan dan sebagainya. Destinasi yang menjadi pilihan kebanyakan remaja pada hari ini tentunya pusat snuker, disko, panggung wayang, gelanggang futsal, pusat karaoke dan lain-lain. Golongan dewasa yang sudah berkerjaya pula lebih suka berkunjung ke kelab malam, melepak di warung, rumah urut, pusat perjudian dan banyak lagi. Gejala negatif ini terus membelenggu hidup golongan-golongan tersebut hinggalah umur mereka mencapai lingkungan 50-an. Tatkala ini, barulah masjid menjadi tempat yang sering dikunjungi dan hidup seharian menjadi terisi dengan pelbagai kuliah agama di merata tempat. Setelah melihat situasi ini, tidak hairanlah hanya warga emas sahaja yang menjadi pengunjung setia kebanyakan masjid pada hari ini. Pemikiran sebegini yang meletakkan had umur tertentu untuk membuat perubahan sikap sangat merugikan seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud :

(1) “Demi masa”.
(2) “Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian”.
(3)“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”.

(Surah Al-Asr : Ayat 1-3)

Dalam hal ini, institusi masjid kadang kala turut dipersalahkan kerana gagal mengatur program yang boleh menarik minat para belia untuk turut serta mengimarahkan masjid. Kebanyakan aktiviti yang dianjurkan hanya berbentuk pengajian umum dan secara tidak langsung seolah-olah hanya mensasarkan golongan tua sahaja untuk menyertainya. Ceramah atau kuliah agama yang disampaikan oleh penceramah tertentu pula lebih banyak mengupas persoalan azab api neraka yang barangkali menimbulkan rasa kurang senang para belia yang baru hendak mendalami ilmu agama. Permasalahan uslub dakwah juga perlu dititik beratkan dalam menangani permasalahan ini dengan lebih serius dan efektif. Justeru, institusi masjid pada hari ini perlu lebih proaktif dalam mengatur aktiviti yang membawa mesej dakwah tanpa mengabaikan kehendak golongan belia dan warga tua. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan untuk menarik minat golongan belia seperti menganjurkan karnival kesenian Islam, kejohanan sukan belia dan lain-lain. Langkah yang barangkali mampu merealisasikan harapan untuk melihat para belia mengisi barisan saf hadapan masjid ialah dengan melibatkan golongan belia dalam jentera penggerak institusi masjid. Golongan ini pastinya lebih memahami selera kelompok yang sebaya dengan mereka sekaligus mampu menyuarakan buah fikiran yang rasional dan pelbagai.




[1] Ibnu Manzhur, Abu al-Fadhl Jamaluddin Muhammad bin Mukram (1993), Lisân al-Lisân Tahdzîb Lisân al-‘Arab, Beirut : Dar al-Kitab al-Alamiyyah, cetakan 1, jilid 1, hlm. 577
[2] Dr. Zainuddin Jaffar (2001), Ke Arah Menjadikan Institusi Masjid Sebagai Pusat Kecemerlangan Komuniti Islam Selangor, Kertas Kerja Bengkel Agama Mini Konvensyen UMNO Selangor pada 19-20 Mei 2001.
[3] M Quraish Shihab (1999), Wawasan al-Quran : Tafsir Mauduu’ 1 Atas Pelbagai Persoalan Umat : Bandung, Penerbit Mizan.
[4] Al-Zarkasyi, I’lam al-Sajid li Ahkam al-Masajid.
[5] Dr. Mustafa as-Syibaie (2004), Sirah an-Nabawiyah; Durus Wa ‘Ibar, terj. Bhgn Penterjemahan Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur: Pustaka Salam, hlm. 78
[6] Thomas Arnold, History of Rome.
[7] Dr Hasan Ibrahim (1996), Tarikh al-Islam, Beirut: Darul Jalil, hlm. 326-327.
[8] Rujukan: http://www.yapeim.net.my/objektif
[9] Ditubuhkan pada tahun 1974 untuk menyelaras dan menyatukan badan-badan dakwah dan membantu badan-badan ini supaya berperanan secara membina untuk pembangunan umat dan meningkatkan kefahaman Islam supaya masyarakat Islam memainkan peranan aktif dalam proses kemajuan. Rujukan : www.yadim.com.my/yadim/Penubuhan.
[10] Ditubuhkan pada 22 November 1980 atas daya usaha Persatuan Ulama' Malaysia (PUM), organisasi kewangan yang mengajak umat Islam bermu'amalah berlandaskan syari'ah dengan menyediakan institusi kewangan Islam sebagai satu alternatif kepada sistem kewangan yang ada. Rujukan : www.koperasimuslimin.com.my.
[11] Rujukan: http://www.yapeim.net.my/berita_yapeim1
[12] Ibid
[13] Dr. Zainuddin Jaffar (2001), Ke Arah Menjadikan Institusi Masjid Sebagai Pusat Kecemerlangan Komuniti Islam Selangor, Kertas Kerja Bengkel Agama Mini Konvensyen UMNO Selangor.
[14] Pegangan atau pan­dang­an hidup yg mementingkan kese­ronokan atau kesenangan hidup, Rujukan: Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment